Masalah Hutang – Jangan Ambil Mudah Soal Melunaskan Hutang!
1. Kita hari ini hidup di zaman yang sukar bagi kita melepaskan diri dari meminjam atau berhutang, baik untuk tujuan pendidikan, perniagaan atau keperluan hidup.
2. Semata meminjam atau berhutang (selagi berasaskan prinsip Islamik) bukan suatu yang negatif dan tidak menjadi kesalahan sekiranya ia dilakukan demi membawa elemen positif dalam urusan dan kehidupan.
Hutang menjadi negatif apabila ia menjadi tabiat dalam melayan kehendak hidup di luar kemampuan.
Justeru Nabi SAW ketika berdoa memohon perlindungan, baginda menyebut “غَلَبَة الدَّيْن” iaitu kalimah “ghalabah” di situ bermaksud bebanan hutang yang sukar atau tidak mampu dilunaskan.
3. Ramai dari kalangan masyarakat kita yang masih mengambil mudah soal melunaskan hutang seakan lupa akan sabda Nabi SAW:
نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ مَا كَانَ عَلَيْهِ دَيْنٌ
“Jiwa seorang mukmin itu terkandas selagi masih mempunyai hutang (yang belum dilunaskan)” [riwayat Ahmad].
Bahkan pejuang yang mati syahid juga walau seluruh dosanya diampunkan, tetap tidak akan terlepas atau tidak diampunkan hutangnya yang masih tidak terlunas [riwayat Muslim].
4. Mengapa begitu besar ancaman Allah terhadap penghutang yang tidak melunaskan hutangnya?
Pertama:
Kerana ia merupakan hak orang lain yang kita ambil, sekiranya tidak dipulangkan maka kita telah memakan hartanya secara batil sedangkan Allah telah berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡڪُلُوٓاْ أَمۡوَٲلَكُم بَيۡنَڪُم بِٱلۡبَـٰطِلِ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian makan harta sesame kalian secara salah!” [al-Nisa: 29].
Kedua:
Kerana orang yang terbeban dengan hutang akan mula berdusta dan memungkiri janji demi mendapatkan wang atau mengelakkan diri dari membayar, sebagaimana dalam hadis ‘Aisyah RA, bahawa beliau melihat Nabi SAW banyak berdoa pada Allah memohon perlindungan dari (terlilit dengan) hutang.
Lalu ‘Aisyah bertanya: “Kenapa aku lihat kamu banyak berdoa memohon perlindungan dari (terlilit dengan) hutang?”.
Jawab baginda: “Kerana orang yang berhutang itu apabila bercakap dia akan sering berdusta, dan apabila berjanji dia mudah memungkiri” [riwayat Abu Ya’la].
5. Antara ancaman buat mereka yang mengambil mudah soal melangsaikan hutang:
a) TERHALANG DARI MEMASUKI SYURGA.
Dalam sebuah hadis ketika Rasulullah SAW sedang duduk bersama para sahabatnya di masjid, lalu ada jenazah yang dibawa untuk disolatkan.
Tiba-tiba Rasulullah SAW mengangkat pandangannya melihat ke langit seketika, kemudian tunduk dan meletakkan tangannya di dahi seraya mengucapkan: “Subhanallah, subhanallah! Apa urusan berat yang telah menimpa!” sehingga membuat para sahabat terdiam tidak berani bertanya sehari semalam.
Pagi keesokannya, salah seorang sahabat bertanya baginda: “Wahai Rasulullah, apa urusan berat yang telah menimpa (yang kamu sebut-sebut semalam)?”.
Jawab baginda: “Tentang hutang”.
Lalu baginda menyambung lagi: “Demi jiwa Muhammad di tangan-Nya, seandainya seseorang itu mati (syahid) di jalan Allah, kemudian dihidupkan kembali, kemudian mati (syahid) di jalan Allah lagi, kemudian dihidupkan kembali, sedangkan dia masih dalam keadaan berhutang, dia tidak akan masuk syurga selagi tidak dilunaskan hutangnya!” [riwayat Ahmad].
b) NABI SAW TIDAK SOLATKAN JENAZAH PENGHUTANG.
Ketika salah seorang sahabat Nabi SAW meninggal dan telah disiapkan untuk disolatkan jenazahnya dengan diimamkan baginda, baginda bertanya: “Adakah dia mempunyai hutang?”.
Jawab para sahabat: “Ya, dia ada berhutang 2 dinar”.
Lalu baginda berundur dan menyuruh para sahabatnya sahaja yang menyolatkan jenazah tersebut.
Kemudian Abu Qatadah RA berkata: “Aku akan langsaikan hutangnya wahai Rasulullah”.
Maka baginda pun menyolatkan jenazah tersebut [riwayat al-Bukhari].
Kisah ini yang hanya berstatus hutang 2 dinar sudah cukup membuatkan Nabi SAW mengambilnya secara sangat serius!
Terdapat beberapa lagi kisah seumpama ini yang menunjukkan betapa baginda sangat menekankan soal melunaskan hutang.
6. Nasihat saya di akhir Ramadan ini:
💰 Jangan hanya mengejar untuk melunaskan hak Allah dalam keadaan hak manusia lain diabaikan.
Hak Allah masih dalam ruang lingkup rahmat-Nya yang Maha Luas, sedangkan hak manusia tidak akan terlunas selagi tidak dilangsaikan.
Jangan lupa rahmat manusia itu maha sempit, tidak mudah memaafkan dan tidak mudah membebaskan penghutang dari belenggu hutangnya!
💰 Jangan ambil mudah atau melengahkan urusan perlunasan hutang, kerana suatu yang sangat zalim seandainya perlengahan hutang tersebut memberi implikasi negatif terhadap pemiutang dan pihak lain yang memerlukan pinjaman tersebut.
Sabda Nabi SAW:
مَطْلُ الغَنِيِّ ظُلْم
“Penangguhan dengan sengaja oleh penghutang adalah suatu kezaliman!” [Riwayat al-Bukhari & Muslim].
💰 “Kosong-kosong” hari raya bukan bermakna “kosong-kosong” hutang! -Dr. Kamilin Jamilin-
Nasihat Buat Penghutang dan Pemiutang
Dalam kehidupan hari ini, berhutang sering kali menjadi sebahagian daripada keperluan hidup. Ada yang berhutang untuk pendidikan, membeli rumah, menjalankan perniagaan atau menghadapi kecemasan kewangan. Islam tidak mengharamkan hutang selagi ia dilakukan mengikut syariat dan mempunyai tujuan yang baik.
Namun, perkara yang perlu diberi perhatian ialah sikap terhadap hutang tersebut. Ramai yang bersungguh-sungguh menunaikan ibadah seperti solat, puasa, zakat dan sedekah, tetapi dalam masa yang sama mengambil mudah hak manusia yang masih belum dilangsaikan.
Hak Allah SWT sangat luas dengan rahmat dan keampunan-Nya, tetapi hak manusia tidak akan selesai selagi tidak dipulangkan atau dihalalkan oleh pemiliknya.
Oleh sebab itu, setiap Muslim perlu:
✅ Berhutang mengikut kemampuan.
✅ Mencatat setiap hutang dengan jelas.
✅ Mengutamakan pembayaran hutang sebelum berbelanja perkara yang tidak perlu.
✅ Menghubungi pemiutang sekiranya menghadapi kesukaran membayar.
✅ Sentiasa berniat dan berusaha untuk melunaskan hutang secepat mungkin.
Bagi mereka yang mempunyai kemampuan tetapi sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa perbuatan tersebut adalah satu bentuk kezaliman.
Sabda Rasulullah SAW:
“Penangguhan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah satu kezaliman.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menjelang hari raya, ramai yang saling bermaafan dengan ungkapan “kosong-kosong”. Namun jangan sampai “kosong-kosong hari raya” sedangkan hutang masih tidak diambil serius.
Sebaik-baiknya, jadikan setiap Ramadan, Syawal dan tahun baru sebagai peluang untuk menyusun semula kewangan dan berusaha melangsaikan hutang yang masih berbaki.
Ingatlah bahawa ketenangan hidup bukan hanya datang daripada banyaknya harta, tetapi juga daripada bebasnya diri daripada beban hutang yang belum diselesaikan.
FAQ
Adakah orang yang mati syahid masih perlu melangsaikan hutang?
Ya. Dalam hadis sahih riwayat Muslim, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa semua dosa orang yang mati syahid diampunkan kecuali hutangnya yang masih belum dilangsaikan.
Apakah hukum sengaja melambatkan pembayaran hutang?
Sengaja menangguhkan pembayaran hutang sedangkan mampu membayarnya adalah haram dan dianggap sebagai satu kezaliman menurut hadis Rasulullah SAW.
Adakah hutang bank termasuk dalam hutang yang perlu dilunaskan?
Ya. Semua bentuk hutang yang sah dan wajib dibayar termasuk pinjaman perumahan, kenderaan, pendidikan dan perniagaan perlu diselesaikan mengikut perjanjian yang dibuat.
Bagaimana jika tidak mampu membayar hutang?
Islam menggalakkan penghutang berbincang dengan pemiutang untuk mendapatkan tempoh tambahan atau penyusunan semula pembayaran. Penghutang juga wajib berusaha sedaya upaya untuk melunaskan hutang tersebut.
Adakah waris perlu membayar hutang si mati?
Hutang si mati perlu diselesaikan menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan sebelum pembahagian faraid dilakukan. Jika tiada harta, waris tidak wajib menanggung hutang tersebut, tetapi digalakkan membantu melunaskannya sebagai amal kebajikan.
Apakah doa untuk mengelakkan beban hutang?
Antara doa yang diajar Rasulullah SAW ialah:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ
Maksudnya:
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada melakukan dosa dan dibebani hutang.”
Bagaimana cara keluar daripada masalah hutang yang banyak?
Antara langkah yang boleh dilakukan ialah:
- Menyusun semula bajet kewangan.
- Mengurangkan perbelanjaan tidak penting.
- Menambah sumber pendapatan.
- Mengutamakan pembayaran hutang tertinggi.
- Berunding dengan pemiutang.
- Memohon pertolongan dan keberkatan daripada Allah SWT melalui doa dan usaha yang berterusan.
– sumber
